APA ITU MIKROPLASTIK?
Mikroplastik merujuk kepada zarah-zarah plastik yang terdapat dalam persekitaran, khususnya di lautan, dan menjadi fokus penyelidikan di peringkat antarabangsa. Ia diklasifikasikan sebagai plastik bersaiz mikro dengan diameter kurang daripada 5 milimeter (<5 mm). Mikroplastik mempunyai ketahanan yang tinggi serta sukar terurai, menyebabkan ia kekal dalam persekitaran untuk tempoh yang amat panjang.
Mikroplastik terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu primer dan sekunder. Mikroplastik primer merujuk kepada zarah plastik bersaiz mikro yang dihasilkan secara langsung oleh industri, seperti yang terdapat dalam ubat gigi, pencuci muka, dan produk kosmetik yang mengandungi manik mikroplastik. Mikroplastik sekunder pula terbentuk daripada proses penguraian plastik primer serta degradasi berterusan melalui kaedah fizikal, kimia, atau mikrobiologi, menyebabkan bentuk dan saiznya menjadi tidak seragam. Antara sumber utama mikroplastik sekunder termasuk botol plastik, jaring ikan, dan beg plastik.
PERUNDANGAN KESELAMATAN MAKANAN DI MALAYSIA
Akta Makanan 1983
13. (1) Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
13A. (2) Mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi atau padanya terdapat apa-apa jirim yang asing kepada sifat makanan itu, atau adalah selainnya tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia, sama ada dikilangkan atau tidak, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Peraturan-Peraturan Makanan 1985
Kecuali sebagaimana dinyatakan selainnya dalam Peraturan-Peraturan ini, tiada seorang pun boleh mengimport, mengilang, mengiklankan untuk jualan atau menjual, atau menggunakan atau menyebab atau membenar supaya digunakan dalam penyediaan, pembungkusan, penstoran, penyerahhantaran atau pendedahan makanan untuk jualan, apa-apa bungkusan, perkakas, bekas atau bejana yang mengeluarkan atau boleh mengeluarkan pada kandungannya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau mencacatkan, atau yang membantu dalam pemerosotan makanan itu.
Tiada seorang pun boleh mengimport, mengilang atau mengiklankan untuk jualan atau menjual atau menggunakan dalam penyediaan, pembungkusan, penstoran, penyerahhantaran atau pendedahan makanan untuk jualan, apa-apa bungkusan, perkakas, bekas atau bejana tegar atau separa-tegar yang diperbuat daripada polyvinyl chloride yang mengandungi lebih daripada 1mg/kg vinyl chloride monomer.
Tiada seorang pun boleh mengimport, menyediakan atau mengiklankan untuk jualan atau menjual apa-apa makanan dalam bungkusan, perkakas, bekas atau bejana tegar atau separa-tegar yang diperbuat daripada polyvinyl chloride jika makanan itu mengandungi lebih daripada 0.05mg/kg vinyl chloride monomer.
(1) Dalam Peraturan-Peraturan ini, “juzuk kebetulan” ertinya apa-apa bahan asing luaran, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung atau terdapat di dalam atau pada mana-mana makanan dan termasuklah cemaran logam, mikroorganisma dan toksinnya, residu drug, residu racun perosak dan cemaran lain tetapi tidaklah termasuk apa-apa aditif makanan atau nutrien yang ditambah atau apa-apa bahan lain yang dibenarkan untuk ditambah pada makanan oleh Peraturan-Peraturan ini.
(2) Tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan, atau menyebab atau membenarkan supaya disimpan, dibawa, disebar atau digunakan, apa-apa bahan beracun, berbahaya atau merosakkan hingga boleh mendedahkan sesuatu makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut pada bila-bila masa semasa menyediakan, mengilang, menstor, membungkus, membawa, menyerahhantar, atau mendedahkan untuk jualan, makanan tersebut.
(3) Kecuali bagi residu racun perosak, tiada seorang pun boleh mengimport, menyedia atau mengiklankan untuk jualan atau menjual apa-apa makanan yang mengandungi apa-apa juzuk kebetulan, kecuali sebagaimana yang dinyatakan selainnya dalam Peraturan-Peraturan ini atau dalam Codex Alimentarius.
Malaysia telah membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Sisa Marin Kebangsaan 2021-2030, Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030, Ke Arah Masa Hadapan Yang Lestari dan Kempen Laut Bebas Plastik.
PERUNDANGAN KESELAMATAN MAKANAN DI NEGARA LAIN
Microbead-Free Waters Act of 2015 merupakan undang-undang yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat iaitu melarang pembuatan, pembungkusan dan pengedaran produk penjagaan diri yang mengandungi mikrobead plastik dengan tujuan untuk mengurangkan pencemaran air, manakala larangan pengilangan produk telah dikuatkuasakan pada Julai 2017 dan jualan runcit pada Julai 2018.
Menurut European Commission (EC), draf cadangan telah dikeluarkan pada 30 Ogos 2022 iaitu menghalang penggunaan mikroplastik yang ditambah dengan secara sengaja, sekatan tersebut melibatkan synthetic polymer microparticles dengan diameter berukuran kurang daripada 5 milimeter (<5 mm) dan fiber-like particles dengan diameter berukuran kurang daripada 15 milimeter (<15 mm), digunakan dalam produk dan boleh memberi kesan terhadap alam sekitar.
BAGAIMANA MIKROPLASTIK DIKESAN DALAM MAKANAN?
Manusia boleh terdedah kepada pencemaran mikroplastik melalui pemakanan, pernafasan, dan sentuhan kulit. Sisa buangan yang mengandungi mikroplastik boleh mengancam hidupan marin, yang merupakan sumber makanan manusia, sekali gus memberi kesan tidak langsung terhadap kesihatan manusia. Selain itu, mikroplastik juga boleh mencemari produk makanan melalui pelbagai mekanisme lain, seperti pencemaran bawaan udara semasa pemprosesan, degradasi bahan pembungkusan, serta pencemaran yang berlaku semasa penyediaan makanan.
KESAN KEPADA KESIHATAN
Mikroplastik boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia melalui saluran gastrousus (GI) yang boleh menjejaskan toleransi dan tindak balas sistem imun usus terhadap toksin dan patogen. Melalui kajian yang dibentangkan pada United Europen Gastroenterology (UEG) Week ke-26 di Vienna, penemuan mikroplastik dalam najis manusia iaitu polypropylene (PP) dan polyethylene-terephthalate (PET).
Mikroplastik boleh memasuki tubuh manusia melalui udara yang disedut dan berpotensi mendap jauh ke dalam paru-paru, sekali gus menjejaskan sistem pernafasan serta menyebabkan pelbagai komplikasi. Selain itu, mikroplastik juga boleh meresap ke dalam aliran darah melalui paru-paru, yang berisiko menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti kardiovaskular, serebrovaskular, serta kanser. Pendedahan kepada mikroplastik turut berpotensi menjejaskan sistem imun dan saraf manusia.
CADANGAN KEPADA PENGGUNA
Gunakan penapis air berkualiti tinggi (contohnya sistem penapisan karbon atau osmosis songsang) untuk mengurangkan mikroplastik dalam air paip.
RUJUKAN
Cverenkárová, K., ValachoviÄová, M., Mackuľak, T., ŽemliÄka, L., & Bírošová, L. (2021). Microplastics in the food chain. Life, 11(12), 1349.
EFSA Panel on Contaminants in the Food Chain (CONTAM). (2016). Presence of microplastics and nanoplastics in food, with particular focus on seafood. Efsa Journal, 14(6), e04501.
Pencemaran Mikroplastik _ Bagaimana Kajian di Malaysia _ MajalahSains.pdf
Pencemaran Mikroplastik telah dikesan Dalam Darah Manusia _ MajalahSains.pdf
Mikroplastik Ditemui Dalam Najis Manusia _ MajalahSains.pdf
9789240054608-eng.pdf
s2.0-S2405844024110535-main.pdf
Disediakan oleh- Anis Yasmin binti Ariffin
Program Keselamatan dan Kualiti Makanan
Kementerian Kesihatan Malaysia